24 February 2012


Kelebihan Surah Al-Fatihah



Surah Al-Fatihah adalah pembuka Al-Quran. Surah ini menjadi rukun pada setiap rakaat dalam solat dan mempunyai pelbagai nama. Antara namanya ialah Fathiatul Kitab, Ummul Kitab, Sab'ul Mathani dan lain-lain.
Surah ini mempunyai banyak kelebihan seperti yang disebut dalam beberapa buah hadis.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam kitab Musnadnya, bahawa Abu Sa'id bin al-Mud'alla berkata:
"Rasulullah SAW pernah memanggilku ketika aku sedang solat, tetapi aku tidak memenuhi panggilannya sehinggalah aku selesai solat. Sesudah solat lalu aku menemui Baginda SAW. Baginda bertanya: 'Apakah yang menghalangmu dari menyahut panggilanku?' Aku pun berkata, 'Ya Rasululllah, sesungguhnya aku tadi sedang solat.' Baginda pun bersabda: 'Bukankah Allah SWT telah berfirman (iaitu dalam surah al-Anfal ayat 24 yang bermaksud):
"Wahai orang beriman, penuhilah seruan Allah dan seruan Rasul, apabila rasul menyeru kamu sekalian kepada sesuatu yang memberi kehidupan kepada sekalian kamu."
Seterusnya Baginda SAW bersabda: 'Sesungguhnya aku akan mengajari engkau surah yang paling agung dalam al-Quran sebelum engkau keluar dari masjid ini.' Baginda SAW kemudian memegang tanganku dan ketika akan keluar dari masjid, aku bertanya: 'Sesungguhnya tadi engkau berkata bahawa engkau benar-benar akan mengajari aku seagung-agung surah dalam al-Quran?' Rasulullah SAW bersabda: 'Ya, benar, (ia adalah) alhamdulillahi rabbil 'alamin (iaitu surah al-Fatihah), ia adalah Sab'ul Mathani (tujuh ayat yang selalu diulang-ulang) dan al-Quran yang agung yang diturunkan kepadaku.' "
Ada juga hadis yang lain yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Ibn Abbas R.A, beliau berkata:
"Pada ketika malaikat Jibrail sedang duduk bersama Rasulullah SAW, tiba-tiba terdengar bunyi pintu dibuka di atasnya. Jibrail kemudian mendongak ke langit dan berkata: 'Itu adalah bunyi pinti langit dibuka dan sebelumnya tidak pernah dibuka sama sekali melainkan hari ini.' Lalu turun satu malaikat dari pintu tersebut yang mana malaikat itu tidak pernah turun melainkan pada hari ini.
Maka ia menemui Nabi SAW dan mengucapkan salam dan seraya berkata: 'Hendaklah engkau bergembira dengan dua cahaya yang diberikan kepadamu, yang tidak pernah diberikan kepada seorang nabi pun sebelumMu, iaitu surah al-Fatihah dan beberapa ayat di akhir surah al-Baqarah. Tidaklah engkau membaca satu huruf pun daripada kedua-duanya, melainkan apa-apa yang engkau pohon pasti akan dimakbulkan oleh Allah.' "
Imam al-Qurtubi berkata, "Antara keistimewaan surah al-Fatihah ialah ia berada di permulaan al-Quran. Inti patinya merangkumi segala jenis ilmu kerana mengandungi segala bentuk puji-pujian kepada Allah SWT, pengakuan pengabdian diri dan keihklasan niat ketika beribadat kepada-Nya. Ia juga mengandungi isyarat pengakuan bahawa para hamba-Nya dengan segala kewajipan yang mereka lakukan, tidak akan mampu membalas segala nikmat-nikmat kurniaan-Nya, mengandungi isyarat tentang kewujudan hari kebangkitan dan hukuman azab terhadap mereka yang mengingkari perintah Allah SWT dan mengandungi perkara-perkara lain yang kesemuanya mempunyai maksud bahawa ia mempunyai hubung kait dengan persoalan jampi perubatan."
Selain digunakan untuk menjampi pesakit, secara tidak langsung dapat juga difahami surah al-Fatihah boleh juga digunakan sebagai pelindung diri daripada gangguan makhluk halus seperti jin dan iblis. Hal ini telah dijelaskan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani dengan katanya, "Dalam surah al-Fatihah terkandung maksud memohon perlindungan dengan Allah SWT. Justeru, ia juga mengandungi makna pertolongan dengan Allah SWT. Apa jua surah yang terkandung dalamnya makna memohon perlindungan atau memohon pertolongan kepada Allah SWT atau memberi makna yang sepertinya, maka melakukan jampi dengan surah tersebut telah disyariatkan iaitu dibolehkan."
Wallahu a'lam.

No comments:

Post a Comment